About Me

My photo
"cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun daripada langit , bersih dan suci.. cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya.. jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah cinta itu tandus oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela.. tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, disana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji..." ~~~HAMKA~~~

mutiara kata

Jika Anda menginginkan sesuatu yang belum pernah anda miliki, Anda harus bersedia melakukan sesuatu yang belum pernah Anda lakukan.

~ Thomas Jefferson~

MAQAM PERCINTAAN..

Aku ingin berkongsi cerita dengan Kau tentang pengalaman Aku bila berhadapan dengan persoalan cinta dan kasih sayang dalam hidup ini. Kita bertemu ditempat biasa, yang selalu kita gunakan bila sesekali pulang bercuti.Kau tentu tidak sabar dengan perkhabaran ini, kerana sebelum ini Aku tidak pernah bercakap hal yang seperti ini bersama Kau, apatah lagi dengan orang lain untuk menceritakan perihal hidup Aku dalam isu seperti ini sekalipun sebahagian hidup Aku pernah kuhabiskan bersama Kau. Tidak seperti Kau, yang selalu mencari Aku untuk berkongsi pendapat dan menceritakan perjalanan kehidupan ‘rumahtangga’ Kau yang bersilih ganti itu Sebenarnya Aku sudah lama memikirkan persoalan seperti ini untuk diri Aku. Barangkali sejak dibangku sekolah lagi. Tapi itulah, hanya sekadar seorang pemikir yang memikirkan sesuatu itu untuk kepentingan hidup Aku nanti. Dan ternyata Aku telah menggunakan semua buah fikiran yang pernah Aku kaji dan fikirkan dulu dalam kehidupan Aku kini. Sewaktu berada di negeri yang menyimpan penuh sejarah negaralah Aku berjaya memulakan pengaplikasian buah fikiran aku secara realiti bila Aku mula berhadapan dengan perihal cinta dan kasih sayang secara hakiki.

Aku sambung belajar di sebuah pusat pengembangan seni dan sastera negara yang hidup segan mati tak mahu. Tak ramai bilangan pelajarnya. Barangkali seingat Aku hampir seratus orang sahaja, dengan jumlah pelajar bersama Aku hanya seramai tiga puluh orang. Lima orang daripadanya adalah lelaki, termasuk Aku. Sebenarnya, sewaktu minggu suaikenal itulah Aku berhadapan dengan ujian ini.

Aku cuba untuk tidak menggelabah tidak tentu hala bila berhadapan dengannya kerana semua ini sudah bersarang penuh matang dalam benak fikiranku bertahun lamanya. Waktu itulah Anda datang penuh sukarela, masuk mengadap dan menyatakan maksud hati nurani.

Nyata Aku tidak tahu apa keputusan takdir, tapi seharusnya Aku mula menunaikan permulaan cita-cita cinta yang bersarang di hati ini secara jujur. Tidak Aku terkejut dengan cara Anda, sebaliknya ia memberi kesan kepada fikiran Aku betapa perlunya diri ini waktu itu untuk mengelak daripada menempah sebarang musibah yang akan mengaibkan diri.

Aku tidak mencari cinta secara membuta tuli kerana Aku percaya sampai masa ianya akan datang dengan sendiri. Sebenarnya disinilah letaknya nilai kesabaran yang paling mahal harganya untuk diri. Kau tahu apa yang Aku maklumkan bila mendengar pelawaan pertama dari Anda itu;

“Cinta bagi Aku adalah perkahwinan. Perkahwinan adalah kehidupan. Dan kehidupan adalah diri. Bersediakah Anda untuk Aku kahwini? Aku mencari isteri, merangkap kekasih hati, dan sahabat hidup dan mati untuk membolehkan kami memadu kasih secara halal dan terhormat untuk diri dan keturunan warisan ini.” Nyata Anda tersentak. Dan seterusnya Anda menggelabah untuk membetulkan keadaan dirinya.

“Errr……saya tidak terfikir sejauh itu.”

“Itu menunjukkan cinta Anda terlalu murah. Cinta plastik. Cinta palsu. Cinta nafsu. Cinta dusta. Cinta rupa. Cinta harta-benda. Cinta mainan perasaan. Cinta sehari dua. Cinta seringgit dua. Cinta samah serial. Cinta naik bas-turun bas. Cinta supermarket. Cinta bowling. Cinta panggung wayang. Cinta kedai kopi. Cinta KFC. Cinta taman bunga. Dan segala macam cinta yang tidak memberi makna kekal pada diri Anda sendiri. Saya tidak perlukan cinta yang seperti itu!”

Kata Kau, Aku ego. Dengar dulu hujah Aku berikutnya.

Anda tertunduk, barangkali tertikam oleh ketajaman bahasa telahan Aku itu. Sebenarnya itu hanya ujian peringkat pertama, untuk kulihat sejauh mana kesungguhan Anda. Nyata Anda diam tanpa kata-kata.

Tentu Anda pelik dan terkejut bila diterjah dengan jangkauan sejauh itu. Aku memang tidak berminat untuk bercinta kerana memang Aku tidak mempunyai pengalaman cinta seperti Kau. Atau barangkali seperti Anda. Yang Aku ada hanyalah pengalaman berfikir tentang perihal cinta dan kasih sayang sahaja.

“Memang semua bercita-cita ke arah itu, tetapi biasanya sebelum melalui proses perkahwinan harus dilalui dengan dunia seperti ini.” Tukas Anda lembut.

Aku tersenyum hambar. Nyata Anda harus memahami diri Aku sejujurnya.

“Anda tentu pernah dengar tentang dunia remaja hari ini yang tidak sedikit kepincangannya terserlah. Anda tahu, bahawa semua ini adalah atas bahana kesalahan meletakkan nilai cinta ditempat yang sewajarnya. Budaya buang anak, mengandung luar nikah, sumbang mahram, khalwat, rogol, dadah, judi, lumba haram, curi, jenayah seks, dan segala macam kebobrokan dunia remaja hari adalah datangnya dari kesilapan mentafsir makna cinta.

Cinta bukan berkasih, bukan berdua-duaan, bukan cumbu-rayu, berpakaian seksi, mendedahkan aurat, atau hilang budaya tradisi. Cinta tidak menghalalkan cara dan perbuatan. Dan malah, cinta juga tidak rela dicemari dengan hal-hal yang seperti ini. Cinta sebenarnya terlalu suci untuk ditafsirkan.

Maka kerana itu Aku tidak mahu bercinta sekarang ini dengan tujuan mengelak daripada semua ini berlaku ke atas diri Aku. Kerana Aku juga adalah manusia biasa, yang kadangnya tertarik dengan godaan nafsu diri. Lantaran itu wajar sekali kalau Aku katakan bahawa cinta Aku hanya akan lahir seusai perkahwinan. Hanya perkahwinan yang akan menghalalkan semua hijab sebelum ini.” Anda mendongak dengan renungan yang tajam, lebih tajam dan halus dari kata-kata hujah Aku itu dengan sepasang mata yang lentik.

Terpulang.

Anda tidak gelenyar pada kaca mata Aku. Malah Aku lebih menghargai keberanian dan kesungguhan yang Anda tunjukkan itu. Benar bukan budaya kita perigi terkial-kial mencari timba. Tapi itu tidak pelik bagi Aku. Bukankah Nabi junjungan kita sendiri pernah di lamar oleh Khadijah?

Dan Aku percaya, jika perigi itu berjaya menemui timba yang di cari, sesungguhnya timba itu adalah timba yang kukuh, timba yang kuat, yang tahan dek hujan tak lapuk dek panas. Maka kerana itu Aku lebih berminat untuk bermain kata-kata dengan Anda terlebih dahulu, agar kelak dapat Aku sukat dalam-cetek air yang bertakung di dalam perigi harapan itu.

Aku meneruskan lagi begini untuk makluman Kau;

“Cinta bagi Aku terlalu agung. Dan cinta yang agung hanya datang sekali dalam hidup. Seharusnya, cinta yang agung itu dirasai dan dihayati sepanjang hayat hidup dan bukannya di kenang sebagai satu sejarah pengalaman diri yang tertinggal.

Cinta yang agung adalah cinta yang harus dipertahankan kesuciaannya dan diletakkan ditempat yang sewajarnya. Persis seorang gadis yang harus mempertahankan kesuciaannya sehingga ke jinjang pelamin.

Cinta yang agung samalah seperti sebuah pelayaran. Pelayaran yang agung ialah pelayaran yang tidak pernah karam sekalipun dilanda ombak dan badai sehingga sampai ke pelabuhan yang dituju. Dan pelabuhan itu ternyata adalah kematian!

Biasa kita dengar orang belayar untuk memulakan sebuah pelayaran yang agung dengan ilmu yang sedikit lantaran sifat terburu-buru dan tidak sabar. Lalu mereka karam. Kemudian mereka belayar lagi dengan kapal yang berlainan. Karam. Berlayar. Karam. Dan begitulah seterusnya entah puluhan kali. Lalu di mana keagungan yang dicari? Sebenarnya bagi Aku mereka ini telah gagal dalam mencipta keagungan cinta.”

Bukankah cinta yang agung itu adalah cinta yang lahir seusai perkahwinan?

Aku tahu, Anda masih belum mahu mengaku kalah dalam percubaannya itu. Buktinya bila Anda cuba meneka laut fikirku dengan soalan seperti ini;

“Saya menghormati saudara. Tapi izinkan saya meneruskan niat saya begini; Saudara bilang saudara tidak mempercayai cinta seperti ini. Saya fikir saudara seperti cuba untuk melawan takdir. Melawan takdir, samalah seperti cuba melawan kuasa dan ketentuan Tuhan. Cuba saudara fikir, adakah wajar untuk kita atau seseorang itu yang kemudiannya bertemu dan terus berkahwin untuk menunaikan cita-cita perasaan mereka itu?”

Memang Aku sendiri sudah mengagaknya. Dan Kau juga mungkin tercengang dengan soalan seperti itu jika Kau jadikan pengalaman ‘berumahtangga’ Kau sebagai perbandingannya.

“Sebenarnya di sinilah letaknya nilai persahabatan. Nilai persahabatan tidak akan pergi sejauh nilai perkasihan. Maka seharusnya sewaktu di alam inilah kita mengenali hati budi masing-masing untuk dibuat penilaian diri. Hanya perjanjian dan usaha yang akan menemukan kita nanti di alam perkahwinan.

Nabi Junjungan S.A.W kita pernah berkerja bersama Khadijah, seorang janda dan hartawan besar waktu itu beberapa tahun lamanya sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin. Sebenarnya dalam tempoh itulah mereka mengenali hati budi masing-masing, sebagaimana Khadijah kagum dan tertarik dengan sifat dan sikap Muhammad selama berkerja dengannya. Dan harus kita maklum bahawa waktu itu Baginda masih belum diangkat menjadi seorang nabi atau rasul lagi. Bukankah ini contoh terbaik yang harus kita teladani bersama?”

Nyata Anda akhirnya faham dan bersetuju dengan prinsip Aku itu. Dan kita mula bersahabat dan berjanji dengan janji perkahwinan itu. Aku akan hanya berpegang pada janji itu selagi Anda tidak mengkhianatinya. Tentang diri Aku, jangan Anda bimbang kerana kita telah berjanji dan Aku berpegang pada janji itu sehingga sampai masanya.

Aku teruskan dengan peringkat ujian yang seterusnya. Sebagaimana telah Aku katakan bahawa Aku inginkan perkahwinan kerana di dalamnya terkandung segala macam keindahan yang hakiki jika digaul-ramu bersama iman; percintaan, kasih sayang, cumbu-rayu, zuriat dan sebagainya.

Apa yang ada dalam diri kita ini sebenarnya akan diwarisi oleh anak-cucu kita nanti; waima perkara atau sifat yang buruk pun. Maka kerana itu Aku fikirkan bahawa kita harus membentuk peribadi diri yang terbaik bermula sekarang, dan tidak menunggu sehingga kita sudah berhadapan dengan anak-anak.

Dan Kau jangan terkejut jika Aku ikhtiarkan begini.

Aku katakan pada Anda bahawa Aku mencari seorang ‘wanita’ sebagai isteriku nanti. ‘Wanita’ yang Aku maksudkan itu terletak pada kesempurnaan diri; zahir dan batin. Memang kita selalu berbeza pendapat, tetapi perbezaan itu tidak harus dijadikan alasan untuk menidakkan cita-cita itu. Begini Aku katakan kerana memang dalam dunia ini tidak ada lelaki yang mahukan keburukan dan kecacatan dalam diri masing-masing mengikut kaca mata mereka. Kerana itu Aku boleh menerima Anda seadanya.

Aku sebagai seorang laki-laki yang akan menjadi suami Anda, maka Aku terlebih dahulu cuba menunaikan tanggungjawab Aku terhadap Anda. Pertamanya, Aku ‘haramkan’ alat solek diri untuk Anda. Jangan terkejut. Wajah Anda lebih menarik tanpa semua itu. Hanya wajah asli anugerah ilahi jugalah yang menarik untuk di pandang, tidak dengan calitan gincu atau pemerah pipi. Bebas fitnah!

Walaupun awalnya Anda seakan memberontak, tapi akhirnya Anda dapat menerima dengan hati yang redha. Sebenarnya semua ini berjaya setelah Anda benar-benar faham hakikat perhiasan yang sebenarnya daripada menjadi pengikut fesyen semasa secara membuta-tuli. Bukankah perhiasan itu hanya untuk suamimu nanti sewaktu berhadapan dengannya?

Kemudian Aku hadiahkan Anda persalinan pakaian yang layak dipakai oleh seorang ‘wanita’ pada hari ulang tahun kelahiran; sepasang baju kurung, sehelai jubah, dan sehelai tudung labuh untuk meninggalkan persalinan lamanya. Anda menerima dengan berat hati, lebih-lebih untuk menerima sehelai tudung. Aku tahu, sebenarnya Anda takut kepada kata-kata orang tua-tua, bahawa bila seorang sahabat yang hampir menghadiahkan sehelai tudung, besar kemungkinan usia persahabatan itu tidak akan kekal lama!

Itu kuasa Tuhan. Dan kita tidak tahu. Layaknya kita hanya perlu berusaha dan ikhtiar, agar cita-cita kita itu termakbul oleh-Nya, saranku lagi. Ini ikhtiar Aku, kerana bagi Aku, perkara pertama yang di lihat pada diri seseorang ialah penampilan zahirnya.

Seorang wanita, bagi Aku adalah umpama satu rahsia. Rahsia aurat, rahsia percakapan, rahsia perbuatan, rahsia pandangan, rahsia pendengaran, malah banyak lagi. Semua rahsia ini adalah maruah. Dan rahsia itu harus dijaga sehingga sampai ke suatu masa yang sesuai untuk dipersembahkan kepada seorang suami. Bukankah rahsia itu sesuatu yang penting dan bernilai untuk dijaga?

Harus Anda ingat, semua ini mesti dilakukan dengan hati yang ikhlas sebab Aku tidak pernah memaksa. Aku ulangi, Aku tidak sekali-kali memaksa. Andai Anda tidak boleh ikuti, apa boleh buat. Jangan Anda lakukan semua ini kerana Aku. Aku hanya asbab, yang menunaikan adalah mesti hati Anda sendiri juga.

Aku bukan mahu mengurung Anda di dalam sangkar cemburu, tetapi membebaskan jiwa Anda sebagai seorang wanita solehah yang hidupnya berjalan di atas titian iman. Anda harus faham, kerana selagi Anda tidak memahami, selagi itulah Anda akan merasa terkurung dan dikurung!

Sebenarnya semua ini Aku lakukan untuk diri Aku sendiri juga. Bukan semata-mata memaklumkan pada Anda sahaja secara sengaja.

Anda Aku padatkan dengan pengisian jiwa dan rohani. Aku racuni pemikiran Anda dengan amalan-amalan agama yang wajib dan sunat, bacaan Al-Quran, wirid, zikir, dan solat-solat sunat terpilih, sifat-sifat baik dan terpuji, gaya hidup dan seterusnya pemikiran yang diredhai-Nya. Kau tahu, rupanya Anda memabukinya secara langsung. Di sinilah baru Aku percaya bahawa sebenarnya persekitaranlah yang banyak mempengaruhi rentak dan corak kehidupan kita.

Aku tidak memaksa Anda. Terpulang pada Anda untuk membuat penilaiannya sendiri. Sekalipun secara beransur-ansur, nyata Aku berjaya.

Aku selalu mengkhayalkan sebuah rumahtangga yang baik, aman, damai, harmoni, dan wujud interaksi yang baik antara seorang suami dengan seorang isteri, serta anak-anak. Kau tahu, bahawa sebenarnya kita akan memperolehi semua ini hanya melalui agama. Hanya rumahtangga yang berlandaskan iman yang sempurna sahaja akan mencapai tingkat kebahagiaan hidup yang hakiki di dunia dan juga akhirat. Dan rumahtangga yang baik adalah rumahtangga yang diredhai Allah.

Anda beransur secara jujur untuk meletakkan nilai cinta ditempat yang sewajarnya. Kau harus ingat bahawa Aku tidak pernah memaksa. Kerana bila berlaku paksaan, Aku fikir perkara yang dilakukan itu akan menjadi tidak ikhlas. Sesuatu yang dilakukan secara tidak ikhlas adalah sesuatu yang sia-sia. Mahukah Kau melakukan sesuatu yang sia-sia?

Aku terpisah dengan Anda oleh jarak waktu. Anda meneruskan pelajarannya di bahagian timur negara, sedang Aku pulang ke kampung halaman menjengah kedua orang tua. Aku meneruskan ujian untuk tahap yang seterusnya setelah Anda Aku lepaskan ke seberang sana jauh meninggalkan diri dengan harapan, kejujuran, dan kesetiaan. Anda boleh pergi walau ke hujung dunia tanpa Aku di sisi kerana pegangan Aku pada janji-janji itu terlalu kuat dan jitu. Tiada siapa dapat mengubah, kecuali Dia. Tentu Kau juga tidak percaya. Tapi seharusnya Anda juga faham dengan prinsip Aku ini dan tidak mengambil kesempatan ke atasnya demi untuk menunaikan cita-cita perkahwinan itu. Di sinilah Aku berpegang pada kuasa Tuhan sekuatnya dengan keyakinan itu.

Anda tidak Aku hubungi selalu, lantaran walau bagaimanapun keadaan yang Aku lakukan dan hadapi, Aku masih ingat janjiku dengan Anda. Itulah pegangan Aku selagi Anda tidak mengkhianatinya. Jiwa Aku tetap tidak berubah!

Sebenarnya Aku sendiri berhadapan dengan banyak dugaan. Balik menemui orang tua seusai tempoh itu, mereka bertanyakan soal jodoh-pertemuan yang sememangnya menuntut Aku untuk terus setia kepada janji yang telah Aku pegang. Alhamdulillah, mereka gagal mengubah keadaan diri Aku sekalipun mereka tidak pernah Aku maklumkan lagi. Sebenarnya Aku menunggu waktu yang sesuai untuk semua itu. Sengaja Aku tidak mahu terburu-buru.

“Sebenarnya untuk apa kau mengajak aku bertemu hari ini? Terus kepada maksudmu.”

Aku ketawa terkekeh mendengar makluman Kau itu. Rupanya baru kini Kau rasai apa yang Aku rasai setiap kali mendengar celoteh tentang perjalanan ‘rumahtangga’ Kau yang bersimpang-siur dalam setiap pertemuan kita sebelum ini.

“Aku akan memulakan perjalanan cinta, untuk membawanya ke maqam yang terpilih.” Sambil Aku menghulur sekeping sampul surat berisi.

Perlahan Kau membukanya dan kemudian menelaah satu-persatu. Nyata Kau tercengang kagum, kerana barangkali Kau fikir Aku hanya beretorik dengan semua cerita ini.

“Anda?”

“Telah Aku saksikan, Anda memilih jalannya sendiri. Hanya orang yang tahan diuji dan kuat jiwanya sahaja yang boleh mengguna-pakai teori cinta Aku ini sehingga ke titik akhir. Jiwa Anda barangkali kuat, tetapi tidak tahan diuji, sedang pilihan datang bertubi-tubi di depan diri tanpa Aku disisi. Aku fikir pilihan Anda tepat. Dan Anda barangkali telah meletakkan nilai cintanya di maqam yang terpilih.

Anda tidak salah. Aku juga tidak rugi. Aku telah menunaikan tanggungjawabku selama usia persahabatan itu. Anda menerima-pakai nilai persahabatan selama ini. Dan Aku juga berpuas hati dengan disiplin diri yang sebenarnya cuba Aku terapkan ke dalam diri sambil Anda menceduknya dengan banyak sekali melalui pertemuan ini untuk tujuan kehidupan. Aku berjaya. Dan Anda juga menang.

Sebenarnya inilah takdir. Dan takdir inilah kuasa Tuhan. Kuasa Tuhan yang harus kita terima dengan redha hati. Aku jenuh berikhtiar. Dan Anda ralit berusaha. Sebenarnya inilah Qada’ dan Qadar yang ditentukan-Nya.”

Kalian bagaimana lagi?

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Happy Birthday tickers
~♥ Ada hati yang sukar menyayangi orang yang masih hidup, apabila orang tersebut mati barulah hati itu belajar untuk menyayangi. Tetapi ada juga hati yang tidak mampu menyayangi walaupun orang itu telah mati... sungguh, hati itulah hati yang paling keras! ♥~
Multi-Colored Light Pointer

Visitor

Categories

Followers

hak cipta terpelihara.. (atikah-ismail). Powered by Blogger.